Tuesday, July 24, 2012

Petua Membuat Kek

Kek Kering

  • Penambahan bahan pengembang yang berlebihan sehingga udara terperangkap terlalu banyak akan menyebabkan kek menjadi kering.
  • Suhu ketuhar yang kurang panas sehingga kek harus berada di dalamnya terlalu lama. Panaskan dahulu  ketuhar pada suhu yang diingini sekurang-kurangnya 15 hingga 20 minit, kemudian barulah masukkan kek.
Kek Retak ataupun Pecah
  • Suhu ketuhar yang terlalu panas akan menyebabkan kek retak ataupun pecah.
  • Elakkan meletakkan kek di rak paling atas ketuhar yang boleh menyebabkan permukaan kek terlalu panas. Letakkan kek di rak bahagian tengah supaya kek mendapat suhu yang sama rata.
  • Elakkan menggunakan loyang terlalu kecil sehingga isi loyang menjadi penuh.
Kek Bantat
  • Bahan cair yang digunakan lebih banyak dari bahan kering sehingga adunan menjadi terlalu lembik  dan kek menjadi bantat.
  • Jumlah bahan pengembang seperti serbuk penaik dan bikarbonat yang digunakan tidak sesuai akan mengakibatkan kek tidak dapat mengembang semasa dibakar.
  • Proses pembuatan awal seperti memukul telur dan mentega biarlah sebati barulah bahan-bahan lain dimasukkan.
  • Kacau adunan dengan senduk kayu secara searah dan tidak terlalu lama. Jika memakai mixer, pasangkan pada kelajuan rendah sambil kacau sehala.
Kek Turun di Bahagian Tengah
  • Adunan dikacau berlebihan sehingga adunan terlalu halus dan menghancurkan udara yang sudah terperangkap di dalamnya.
  • Penambahan bahan pengembang yang berlebihan.
  • Suhu ketuhar yang tidak tepat, kurang panas ataupun terlalu panas.
  • Kek kurang masak. Caranya ialah dengan menusuk lidi di bahagian tengah kek, jika adunan tersebut tidak melekat di lidi, kek sudah masak. Boleh juga menggunakan cara menekan hujung jari di tengah-tengah kek. Kek yang cukup masak akan naik semula seperti mana anda menekan span.
Kek Merekah
  • Suhu ketuhar terlalu tinggi. Suhu biasa membakar kek ialah 180 darjah celcius. Namun begitu, setiap jenis ketuhar mempunyai kepanasan yang berbeza. Apabila suhu terlalu panas, bahagian luar kek menjadi keras sedangkan bahagian dalamnya belum lagi kembang. Apabila bahagian dalamnya mengembang, ia akan menolak keluar dari permukaan kek maka terjadilah rekahan.
  • Terlebih serbuk penaik ataupun soda- Sekiranya serbuk penaik ataupun soda bikarbonat tidak disukat dengan betul, ia tidak seimbang dengan jumlah tepung yang digunakan. Akibatnya, ia akan menjadi terlalu kembang dan boleh mengakibatkan rekahan.
  • Kek terlalu kering- Ini berpunca daripada kandungan tepung yang berlebihan dalam resipi ataupun adunan kekurangan cecair. Keadaan ini menyebabkan kek kering dan boleh menyebabkan rekahan pada kek terutama kek mentega.
  • Acuan terlalu kecil- Kadangkala acuan yang digunakan terlalu kecil bagi menampung adunan yang disediakan. Sebaik-baiknya, adunan hendaklah dituangkan sehingga 1/2 acuan sahaja kerana adunan akan naik dan mengembang.
Sumber: Resipi Kek dan Biskut Chef Hanieliza

0 comments:

Post a Comment